Jika Emak Tabah, Mengapa Tidak Saya Kata Adib

Kuala Lumpur: Muhammad Adib Ramli dilahirkan normal namun kudung kedua belah kaki selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Genting Sempah, Bentong, Pahang, 10 tahun lalu.

Kemalangan itu berlaku ketika Muhammad Adib, 30, dalam perjalanan pulang ke Kampung Melayu Subang, Selangor selepas mengikuti rombongan program belia di Genting Highlands.

Menurutnya, pengalaman ngeri itu masih terpahat di ingatannya sehingga kini lebih-lebih lagi apabila mengenangkan tujuh rakan yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Namun, dia enggan terus bersedih kerana perlu bangkit meneruskan hidup.

Berbekalkan kesungguhan, Muhammad Adib berjaya membuka kedai yang menawarkan pelbagai makanan barat sejak dua tahun lalu.

Malah, Muhammad Adib tidak lokek berkongsi rezeki dengan merekrut tiga rakan berstatus orang kurang upaya (OKU) sebagai pekerja di kedai makannya yang terletak di Simpang Kampung Pokok Setol, Baling, Kedah.

“Kemalangan itu menyebabkan saya koma selama seminggu dan paling menyedihkan selepas melihat kedua kaki sudah tiada selepas tersedar.

“Namun, kekuatan menerima kenyataan datang selepas melihat kecekalan emak (Zainab Abdullah, 68) ketika menjaga saya sepanjang di hospital.

“Jika emak tabah, mengapa tidak saya.”

Muhammad Adib Ramli

 

Akhirnya saya reda dengan ketentuan dan bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang kedua untuk hidup,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Adib berkata, sebelum menjalankan perniagaan, dia pernah mencari rezeki dengan menjual kad tambah nilai, berniaga air soya di tepi jalan dan menjadi ejen sebuah syarikat pengeluar penapis air.

Katanya, sebahagian wang itu disimpan dan dijadikan modal bagi mengusahakan perniagaan iaitu kedai makan yang kini dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam.

“Saya tidak pernah memohon pekerjaan di mana-mana syarikat sebaliknya selesa bekerja sendiri daripada dulu lagi.

“Berbekalkan usaha dan sokongan keluarga ,saya dapat membuka kedai yang menjual pelbagai makanan barat seperti chicken chop, lamb chop, bebola daging, lasagna, pasta dan burger yang dagingnya dibuat sendiri.

“Alhamdulillah, saya tidak berseorangan sebaliknya ada pekerja terdiri daripada tiga rakan OKU iaitu Muhammad Haikal Md Syukri, 28, (masalah pembelajaran) sebagai penghantar makanan manakala Wan Fadhilah Abdullah, 38, (bisu) dan Muhammad Akram Azhar, 21, (cacat pergelangan tangan sejak lahir) menjadi pembantu tukang masak,” katanya.

 

MUHAMMAD Adib menjalankan perniagaan makanan barat dan mengambil pekerja OKU di kedai makannya di Simpang Kampung Pokok Setol, Baling, Kedah. FOTO Amran Hamid
MUHAMMAD Adib menjalankan perniagaan makanan barat dan mengambil pekerja OKU di kedai makannya di Simpang Kampung Pokok Setol, Baling, Kedah. FOTO Amran Hamid

 

Seperti usahawan lain, Muhammad Adib mengakui perniagaannya turut terkesan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan.

Sebaliknya, Muhammad Adib menganggapnya sebagai lumrah dalam perniagaan dan bagi menambah pendapatan, dia mengambil inisiatif menjadi ejen insurans sambilan biarpun sudah mempunyai perniagaan sendiri.

“Perniagaan ketika awal tahun ini agak perlahan disebabkan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun saya cuba tawarkan khidmat penghantaran makanan ke rumah atau bayaran ketika penghantaran (COD) kepada pelanggan.

“Strategi itu berhasil dan misi saya ialah terus mengukuhkan perniagaan malah jika diberi peluang, saya bercadang membuka lagi cawangan serta melantik OKU untuk menguruskannya

“Saya mahu buktikan OKU bukan saja boleh berdikari dan berusaha tetapi mampu bergelar usahawan yang memberi peluang kepada golongan senasib,” katanya.

 

Sumber : HarianMetro

 

Apa Pendapat Anda?

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment on "Jika Emak Tabah, Mengapa Tidak Saya Kata Adib"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*