Merompak, Tetak Dan Bunuh Dr Wan Hassan 4 Didakwa

Kuala Lumpur: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong dalam kejadian samun pada 29 November lalu di rumahnya.

S. Vickeswaran, 22, P. Kogilan dan M. Ravindran masing-masing berumur 23 tahun dan T. Sugu, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini, antara 3.35 pagi dan 4 pagi, 29 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Wong menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

Tempat Kejadian

 

Laluan yang digunakan perompak

Kuala Lumpur: Suspek utama yang menetak mati bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong, berjaya ditahan dalam tiga siri serbuan di Setapak dan Semenyih, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, selain suspek utama itu, dua lagi suspek turut ditahan dalam serbuan antara jam 3.30 pagi hingga jam 5 pagi di Jalan Genting Klang, Jalan Air Panas, Setapak dan Jalan Rinching, Semenyih.

“Soal siasat awal ke atas suspek berusia 23 tahun yang ditahan di Jalan Rinching, mendapati dia bertanggungjawab menetak mangsa dalam kejadian berkenaan.

“Polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Sugu Thangarajoo berusia 27 tahun,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, pihaknya percaya dapat menyelesaikan beberapa siri kes samun didalangi kumpulan itu di sekitar Lembah Klang, susulan penahanan semua suspek berkenaan.

“Semalam kita umumkan tangkapan terhadap 10 individu dan mereka juga masih ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes samun lain di sekitar Lembah Klang.

“Salah seorang individu yang ditahan awal pagi tadi adalah individu yang membantu suspek utama melarikan diri ke Semenyih,” katanya.

Menurutnya, polis percaya ketika kejadian terdapat empat suspek yang melakukan samun di rumah mangsa dengan dua suspek di dalam rumah, manakala dua lagi menunggu di dalam kenderaan.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi kelmarin, rumah dihuni Dr Wan Hassan dan isteri, Sarifah Yusof, 70, di Bukit Bandaraya, Bangsar dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta wang menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala, isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.

10 Suspek Ditahan

Kuala Lumpur: Seramai 10 individu yang disyaki terbabit dalam dua kes samun termasuk rumah bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong, sudah ditahan setakat ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua suspek termasuk suspek utama itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan oleh sepasukan polis.

“Ya, ada tangkapan, setakat semalam, 10 orang termasuk suspek utama kes ini,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita, hari ini.

Satu sidang media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengenai kes dan tangkapan itu dijangka diadakan hari ini.

Harian Metro, malam tadi, melaporkan, suspek yang menyamun dan menetak Dr Wan Hassan sudah ditahan polis selepas beberapa jam melakukan jenayah terbabit.

Mereka ditahan selepas usaha memburu suspek dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

 

Kuala Lumpur: “Arwah ada susun manuskrip Panduan Mudah Membaca al-Quran dan minta saya perkemaskan serta jadikan buku.

“Itulah permintaan terakhir arwah pak cik kepada saya. Insya-Allah saya akan tunaikan dan maklumkan kepada anak arwah jika mereka berminat untuk terbitkan,” kata Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Wan Ahmad Fauzi adalah anak saudara kepada Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di Bukit Bandaraya, Bangsar, pagi tadi.

Menurutnya yang juga Profesor Madya Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, beliau menerima berita kejadian itu daripada ahli keluarga yang menghubunginya jam 5 pagi.

“Kebetulan saya ada di rumah di Denai Alam, Selangor jadi saya terus ke rumah pak cik pagi tadi. Sebaik tiba, jenazah pak cik masih ada di rumah sementara menunggu pihak forensik.

“Manakala mak cik saya yang cedera ditetak sudah dikejarkan ke hospital untuk rawatan segera. Saya dimaklumkan mak cik dalam keadaan stabil,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, mayat arwah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 7.30 pagi tadi dan bedah siasat dijangka dijalankan pagi esok selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

Berkongsi mengenai sikap bapa saudaranya itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, arwah banyak melakukan kerja amal dan mengajar kelas al-Quran untuk veteran.

“Saya dimaklumkan arwah sempat mengimamkan solat Subuh di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar semalam. Pak cik memang rajin mengimamkan solat berjemaah apabila diminta sebab beliau pandai mengaji al-Quran seperti arwah ayahnya suatu ketika dulu.

“Kehilangan pak cik pasti amat dirasai seluruh ahli keluarga dan kenalannya. Ramai anak murid mengaji al-Quran beliau turut merasa kehilangannya,” katanya.

Katanya, arwah adalah bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan mempunyai lima anak termasuk seorang perempuan.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, rumah dihuni mangsa dan isteri Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta duit menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.

 

Sumber : Harian Metro

 

Admin harap arwah ditempatkan bersama – sama orang yang beriman… Al- Fatihah

Be the first to comment on "Merompak, Tetak Dan Bunuh Dr Wan Hassan 4 Didakwa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*